+ | - | reset

ICDM akan Bangunkan Program bagi Pengarah Syarikat PKS

28 Jun 2019

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) — Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) sedang membangunkan program yang bertujuan untuk meningkatkan budaya tadbir urus korporat dalam kalangan generasi seterusnya pengarah syarikat.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Michele Kythe Lim berkata institut itu berusaha untuk membawa lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai program tersebut, yang merupakan sebahagian daripada pelan menyeluruhnya untuk meningkatkan budaya tadbir urus korporat dalam syarikat Malaysia.

ICDM mendapatkan bantuan SME Corp dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia untuk menyemak cadangan institut tersebut mengenai pemerkasaan PKS.

“Cadangan kami termasuklah program khusus dan bersasar yang menumpukan kepada pelbagai isu dalam bidang seperti kewangan dan risiko dalam PKS kerana kebanyakan PKS yang membentuk 98.5 peratus daripada keseluruhan komuniti perniagaan di negara ini, adalah kecil dan mempunyai pelbagai peranan dalam syarikat.

“Kami menyasar bukan hanya untuk meningkatkan dan memenuhi peranan dan tanggungjawab pengarah tetapi juga bagaimana untuk menangani isu sebenar dalam keseluruhan lembaga,” katanya pada taklimat media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Ke2 ICDM, hari ini.

Bagi menggalakkan penyertaan PKS dalam program itu, Lim berkata terdapat juga pakej korporat istimewa bagi mereka, dengan yuran rendah, diskaun bagi program dan manfaat seperti insurans dan kemudahan pengurusan risiko.

“Kami memahami kos adalah isu bagi syarikat kecil ini, jadi kami melihat kepada perkara-perkara yang boleh mendorong mereka menyertai kami,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi ICDM Tan Sri Zarinah Anwar berkata sejak pelancaran rasminya tahun lepas, institut itu menumpukan kepada cara-cara untuk meningkatkan keberkesanan lembaga pengarah syarikat Malaysia dan menggalakkan kecemerlangan dalam tadbir urus.

“Dalam tempoh jangka panjang, kami perlu membuat penyelarasan daripada tahap tertinggi dengan cara mengukuhkan profesionalisme pengarah dan menggerakkan korporat Malaysia daripada disiplin kawal selia kepada disiplin pasaran, hingga kepada disiplin sendiri,” katanya.

ICDM menganjurkan dua Power Talk awam dalam usahanya untuk terus meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pengarah.

Ia juga akan menganjurkan Sidang Kemuncak Pengarah Antarabangsa ICDM 2019 yang julung-julung kalinya diadakan dari 14-15 Okt di Kuala Lumpur, platform serantau pertama yang akan menghimpunkan ketua-ketua korporat dan para pengarah untuk berangkaian, bekerjasama dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu yang dihadapi lembaga pengarah hari ini.

Selain itu, ICDM juga menjangkakan pertumbuhan keahlian dan kadar penyertaan dalam programnya susulan maklum balas positif daripada komuniti korporat.

Setakat ini, keahlian individunya berkembang sebanyak 58 peratus daripada 125 pada 2018, manakala keahlian korporat meningkat lebih daripada berganda dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini daripada 11 sebelumnya.

ICDM, institusi profesional sehenti yang baru ditubuhkan bagi pengarah, diiktiraf dan disokong oleh Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia dan Bursa Malaysia.

— BERNAMA

 

Artikel ini diambil dari akhbar Bernama Online.


Survey

ICDM
Homepage

ICDM