+ | - | reset

Kalangan pengarah perlu terima ganjaran setimpal: ICDM

14 Mar 2019

KUALA LUMPUR – Kalangan Pengarah Bukan Eksekutif (NED) di Malaysia menerima bayaran gaji yang amat rendah dalam persekitaran serta perubahan kompleks senario perniagaan masa kini susulan pendedahan skandal korporat di negara ini.

Sehubungan itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Michele Kythe Lim berkata adalah penting bagi memastikan ganjaran dan tugas itu adalah setimpal bagi menarik penyertaan individu yang berkualiti untuk menggalas jawatan sebagai NED.

Pada masa ini, syarikat sederhana sehingga besar di Malaysia membayar kalangan NED itu antara AS$30,000 hingga AS$40,000 setahun (RM123,000 hingga RM163,000) manakala NED di syarikat-syarikat bermodal besar pula mendapat ganjaran antara AS$80,000 hingga AS100,000 (RM327,000 hingga RM408,000).

Kedua-dua jumlah itu jauh lebih rendah daripada yang diterima oleh kalangan pengarah eksekutif.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi Edisi Ketiga PowerTalk ICDM disini hari ini, beliau berkata terdapat persepsi salah bahawa semua pengarah menerima gaji lumayan.

“Ya, realitinya pengarah eksekutif dibayar agak lumayan dan tidak perlu mendapat kelulusan pemegang saham, seperti mana dibangkitkan dalam perbincangan hari ini. Sebaliknya, kalangan NED atau pengarah bebas tidak mendapat bayaran setimpal seperti dinikmati pengarak eksekutif dan fi itu perlu diluluskan oleh pemegang saham.

Apabila membincangkan mengenai pengarah ini, (realitinya) semua tanggungjawab mereka adalah sama (di bawah Akta Syarikat), malangnya gaji mereka adalah berbeza,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata aspek seperti nilai dan pelbagai perspektif perlu diambil kira dalam menentukan ganjaran yang diterima oleh anggota lembaga pengarah.

“Malah berdasarkan maklum balas, kami memutuskan untuk menjadikan topik khusus ini (ganjaran anggota lembaga pengarah) sebahagian daripada sesi ini memandangkan senario semasa yang menyaksikan ada pengarah dihadapkan ke mahkamah dan didakwa atas kapasiti tugasan beliau.

“Ini turut menimbulkan pertanyaan – adakah kita telah berjaya menarik individu yang tepat untuk menjadi pengarah bebas? Apakah kita membayar gaji setimpal bagi menarik bakat yang sesuai dan adakah NED ini serba kompetitif (dari segi penyertaan dalam lembaga pengarah)?” katanya.

Sementara itu, Ketua Ganjaran Willis Tower Watson, Mark Reid, yang terdahulu menyampaikan ceramah bertajuk ‘Revisiting Misconception of Remuneration Board’, memberitahu pemberita bahawa peranan NED di peringkat global telah berkembang secara ketara dengan kebanyakan negara, termasuk Malaysia melaksanakan keperluan tadbir urus baharu bagi menyokong tadbir urus korporat yang baik serta telus.

“Sebagai reaksi terhadap skandal korporat, harapan dan jangkaan terhadap NED ini telah meningkat dan begitu juga tanggungjawab mereka. NED juga misalnya telah menghabiskan lebih 30 peratus daripada masa bagi menjalankan peranan mereka pada masa sekarang berbanding tahun lepas,” katanya.

Reid berkata selain berdepan keperluan dedahan, kalangan NED turut berdepan risiko undang-undang dan kewangan yang semakin ketara.

“NED berdepan tekanan hebat untuk berani mengambil lebih banyak risiko dan ini sudah cukup untuk membuktikan bahawa bayaran (gaji) mereka juga perlu meningkat sewajarnya. Malah, ini akan turut memberi tekanan terdahap aspek kualiti dan kesaksamaan mereka untuk membantu syarikat membuat keputusan tepat di peringkat lembaga pengarah,” katanya. – Bernama

 

Artikel ini diambil dari akhbar Sinar Harian & Bernama.


Survey

ICDM
Homepage

ICDM