+ | - | reset

Kerajaan mahu pemaju turunkan harga rumah hujung bulan ini

1 Oct 2018

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberikan masa kepada pemaju hartanah sehingga hujung bulan ini untuk mengurangkan harga rumah.

Beliau berkata kegagalan berbuat demikian menyebabkan kerajaan akan mengenakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas perkhidmatan pembinaan.

“Kami berharap pemaju akan memberikan maklumbalas yang positif kepada kerajaan menjelang akhir bulan ini,” katanya mengulas mengenai langkah kerajaan untuk mengecualikan perkhidmatan pembinaan daripada dikenakan SST.

“Ia adalah langkah yang seharusnya dilaksanakan oleh pemaju untuk mengurangkan harga memandangkan kos pembinaan yang semakin rendah berikutan pengecualian berkenaan.

“Harga tanah diputuskan oleh faktor permintaan dan bekalan. Kerajaan tidak mempengaruhi harga pasaran tetapi apa yang kita boleh buat adalah cuba menjimatkan kos bagi pemaju perumahan dan melihat ia dimanfaatkan kepada pembeli rumah,” kata Guan Eng kepada pemberita selepas melancarkan Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) di sini hari ini.

ICDM adalah badan yang ditubuhkan SC untuk mempertingkatkan profesionalisme dan keberkesanan pengarah korporat di negara ini, bertujuan menggalakkan kecemerlangan, integriti dan tahap kemahiran paling tinggi serta kecekapan profesional.

Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan hukuman sebat sebagai hukuman bagi mereka yang didapati bersalah atas kesalahan rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Mohd Shukri Abdull dilaporkan berkata hukuman membabitkan tubuh badan akan menjadi penghalang yang lebih baik di samping mencerminkan kesungguhan pihaknya dalam membanteras rasuah.

Di bawah Akta SPRM 2009, hukuman bagi mereka yang terlibat dalam rasuah adalah penjara maksimum selama 20 tahun selain denda.

Mengulas mengenainya, Lim berkata ia terpulang kepada Peguam Negara, Tommy Thomas untuk memberi maklum balas kepada cadangan berkenaan.

“Saya secara peribadinya menyokong cadangan daripada SPRM itu. Bagaimanapun, ia tertakluk kepada Peguam Negara untuk memutuskannya,” katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata sehingga jam 3 petang pada 28 September lalu, kutipan Tabung Harapan sudah berjumlah RM193.98 juta.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan menghentikan kutipan dalam masa terdekat, Guan Eng berkata Kabinet akan memutuskan mengenai perkara berkenaan tidak lama lagi.

“Kami amat berterima kasih kepada semua penderma Tabung Harapan Malaysia termasuklah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V,” katanya.

 

Sumber: Berita Harian


Survey

ICDM
Homepage

ICDM