+ | - | reset

Pemberi Maklumat Main Peranan Dalam Kesejahteraan Syarikat

8 Oct 2019

Paul Moore

KUALA LUMPUR, 8 Okt — Tindakan menyampaikan perkara yang benar dan pemberian maklumat boleh mendatangkan implikasi negatif.

Namun pemberian maklumat sebenarnya perlu dilihat sebagai satu tindakan yang penuh keberanian, kesedaran dan kecekapan demi kesejahteraan organisasi pada jangka panjang, memandangkan sejarah korporat diisi dengan kegagalan dan skandal sekaliknya pemberi maklumat pula telah diabaikan atau dijadikan mangsa.

Ini boleh dikaitkan dengan apa yang dilalui bekas Ketua Risiko Pengawalseliaan Kumpulan, Halifax Bank of Scotland (HBoS), United Kingdom, Paul Moore apabila beliau dipecat dan tidak pernah ditawarkan pekerjaan yang setara hanya kerana mendedahkan strategi jualan bank tersebut berisiko.

Bagaimanapun pendedahan beliau bahawa lembaga pengarah HBoS gagal memahami risiko yang diambil telah dibuktikan oleh pengawal selia pada 2015 apabila laporan rasmi mengenai kejatuhan bank itu pada 2008 telah menunjukkan kesilapan besar sehingga membawa pengambilalihan oleh Lloyds serta usaha menyelamatkannya bernilai 20.5 bilion pound British.

Moore akan berkongsi pengalamannya dalam menangani pecah amanah serta akibat tindakan dan tanpa tindakan ke atas salah laku korporat semasa Sidang Kemuncak Pengarah-pengarah Antarabangsa 2019 selama dua hari iaitu 14 dan 15 Okt ini.

Acara itu dianjurkan oleh Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM).

Dalam temu bual menerusi emel, beliau berkata berdasarkan pemerhatiannya, perlindungan pemberian maklumat perlu merangkumi pelbagai pendedahan yang dilakukan secara suci hati yang berkaitan dengan pelanggaran sebenar atau yang dijangka berpotensi mana-mana undang-undang atau pengawalseliaan.

Beliau berkata semua negara perlu mempunyai pengawal selia khusus yang beroperasi secara bebas daripada semua pihak berkuasa jenayah lain, yang mandatnya adalah menggalakkan, menyokong dan melindungi pemberi maklumat di samping menguatkuasakan penalti terhadap pihak yang bertindak merugikan mereka.

“Saya panggil ia sebagai ‘The Office of the Whistleblower’. Ia juga boleh dinamakan ‘The Ombudsman of the Whistleblower’,” katanya.

Beliau berkata agensi pengawal selia atau penguatkuasaan berkaitan boleh mengambil tindakan disiplin yang paling ketat ke atas mana-mana eksekutif yang menolak atau bertindak memudaratkan pemberi maklumat.

“Pemberi maklumat, sama ada dikenal pasti atau tanpa nama, harus diberi pampasan penuh dan ganti rugi teladan atas tindakan mereka. Lagipun, mereka bertindak sebagai pegawai tidak dibayar bagi undang-undang di negara mereka.

“Secara peribadi saya percaya sesiapa sahaja yang mempertimbangkan untuk memberi maklumat, mereka perlu mempunyai akses sedia ada dan mudah kepada nasihat pakar terlebih dahulu untuk memastikan mereka mempunyai bukti yang tepat, bagaimana mendedahkannya dan melakukannya selain untuk kekal tanpa diketahui dan dilindungi,” katanya.

Beliau berkata tindakan sedemikian mungkin sukar, namun pemberi maklumat boleh dibantu oleh pegawai agensi atau jabatan khusus untuk melindungi mereka.

Bagi isu tempatan, ketika diminta memberi komen mengenai skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) apabila pemberi maklumat tidak dipedulikan atau tidak diberi perhatian serius, Moore berkata beliau hanya mengetahui mengenai dakwaan rasuah itu daripada media berita tempatan, dan merasakan tidak layak untuk mengulas mengenainya.

“Bagaimanapun, saya akan memberikan satu ulasan am yang terpakai untuk seluruh dunia berkaitan rasuah sedemikian serta salah laku korporat.

“Ia petikan daripada dokudrama terkenal ‘The Age of Stupid’, menampilkan Pete Postlethwaite, pelakon British popular. Beliau berkata ‘with profit the only measuring stick, destroying the planet is built into the system’ (memandangkan keuntungan menjadi satu-satunya kayu pengukur, memusnahkan planet telah dijadikan sebahagian daripada sistem tersebut),” katanya.

Mereka yang berminat untuk menyertai Sidang Kemuncak Pengarah Antarabangsa anjuran ICDM itu boleh mendaftar di https://www.icdm.com.my/ids2019

— BERNAMA

Other News

Survey

ICDM
Homepage

ICDM