+ | - | reset

Tiga Cabaran yang Merisaukan Lembaga Pengarah Malaysia – Kaji Selidik

2 Dec 2019

KUALA LUMPUR, 2 Dis — Kaji selidik yang dibuat oleh Institut Korporat Malaysia (ICDM) mendapati risiko operasi dan pasaran serta ketidaktentuan ekonomi di Asia menjadi tiga cabaran utama yang merisaukan lembaga pengarah Malaysia.

‘BOLD 3.0: Future-Fluent Board Leadership in Asia’ yang diterbitkan buat pertama kalinya hari ini mendedahkan 21 peratus daripada 120 pemimpin dalam lembaga pengarah Malaysia yang ditinjau yakin bahawa risiko pasaran merupakan faktor utama, diikuti dengan risiko operasi (20 peratus) dan ketidaktentuan ekonomi di Asia (18 peratus).

Kebimbangan ini turut dikongsi dengan lima rakan sejawatan dari India, Singapura, Filipina, Sri Lanka dan Vietnam.

Kaji selidik itu dikeluarkan oleh Pusat Kepimpinan Kreatif (CCL) dengan kerjasama ICDM dan lain-lain institut pengarah di Singapura, Filipina, India, Vietnam serta Sri Lanka.

Ia telah dilancarkan hari ini bersempena dengan perasmian Ibu Pejabat ICDM di KL Eco City oleh Pengerusi, yang juga merupakan bekas Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Tan Sri Zarinah Anwar.

Menurut kajian tersebut, lembaga pengarah di Asia kebanyakannya bimbang mengenai risiko yang perlu dihadapi oleh organisasi mereka berikutan perubahan mengejut dalam ekuiti, mata wang, inflasi dan kadar faedah.

“Mereka juga bimbang tentang kemungkinan menanggung kerugian disebabkan oleh perubahan dalam permintaan, kos, keusangan dan harga,” katanya.

Kaji selidik itu juga menunjukkan lembaga pengarah agak bimbang dengan ketidaktentuan ekonomi, disebabkan oleh pertumbuhan ekonomi yang agak perlahan di Asia Tenggara termasuk China serta kesan perang perdagangan dan sentimen negatif umum di sekitar pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, ia juga mendapati sembilan peratus daripada responden menyaksikan keselamatan siber sebagai kebimbangan utama, manakala lapan peratus daripada mereka lebih terkesan dengan persaingan global.

“Teknologi kekal sebagai hal yang paling membimbangkan dalam kebanyakan lembaga pengarah, terutamanya isu yang berkaitan dengan keselamatan siber, yang dianggap sebagai risiko yang paling merisaukan kepada institusi kewangan,” katanya.

Sementara itu, kaji selidik juga menunjukkan bahawa lembaga pengarah Malaysia menghabiskan masa yang terlalu banyak untuk polisi, pelan dan strategi jangka pendek berbanding jangka panjang.

Mereka menghabiskan enam peratus daripada masa mereka dalam perancangan jangka pendek dan bukannya tiga peratus.

“Manakala bagi perancangan jangka panjang, mereka hanya meluangkan 12 peratus daripada masa mereka, yang sepatutnya, mereka perlu memperuntukkan masa yang lebih lama iaitu sebanyak 15 peratus,” menurut kaji selidik itu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ICDM Michele Kythe Lim ketika mengulas mengenai perkara tersebut menjelaskan banyak syarikat tersenarai di negara ini terlalu tertumpu kepada isu jangka pendek seperti keputusan kewangan suku tahunan.

Lim berharap kaji selidik berkenaan akan mewujudkan kesedaran yang lebih besar kepada syarikat untuk lebih fokus kepada perkara lain seperti gangguan teknologi.

“Banyak kali, gangguan seperti ini datang dan anda tidak melihatnya, kerana anda hanya memberi tumpuan kepada keputusan suku tahunan, pengurusan kewangan termasuk risiko jangka pendek dan anda tidak melihat perkara lain yang memberi kesan kepada syarikat seperti gangguan teknologi atau rasuah dalam syarikat anda,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap kaji selidik itu akan membentuk asas untuk menilai lembaga dan menyelaraskan keupayaan mereka bagi menggalakkan kepimpinan yang lebih berkesan.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Naib Presiden CCL bagi Asia Pacific Elisa Malis berkata kaji selidik itu menunjukkan lapan peratus daripada lembaga pengarah Malaysia tidak mempunyai sebarang proses penilaian.

Penemuan ini jauh lebih baik daripada beberapa negara lain yang menyaksikan lebih daripada 40 peratus daripada mereka yang lansung tidak mempunyai apa-apa jenis proses penilaian, katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau berkata hanya empat peratus daripada lembaga pengarah tempatan mempunyai penilaian individu oleh perunding luar.

“Ini yang kita mahu lihat dalam langkah peningkatan seterusnya, apabila bercakap mengenai skandal urus tadbir (korporat), penilaian luaran akan membantu lembaga pengarah meletakkan kedudukan mereka secara lebih kritis dan mencari kelemahan yang terlepas pandang sebelum ini,” katanya.

— BERNAMA


Survey

ICDM
Homepage

ICDM