+ | - | reset

Reaksi kepada Belanjawan 2024

15 Oct 2023

bhklcchiasan 1697345490
Belanjawan 2024 penuhi sasaran kemudi hala tuju ekonomi negara. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, petang kelmarin, mendapat reaksi pelbagai dan bercampur-campur daripada hampir semua sektor dan profesion.

Ada yang memuji dengan menyifatkannya sebagai yang terbesar dengan banyak komitmen untuk membantu golongan rentan, namun ada juga yang menegur kerana kekurangan fokus dalam bidang tertentu, selain ada pandangan kenaikan cukai perkhidmatan akan meningkatkan kos sara hidup.

anwar ibrahim
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur. - Foto PMO

Persatuan Bank-Bank Malaysia melihat Belanjawan 2024 mempunyai sasaran jelas mengemudi negara melalui hala tuju ekonomi baharu dengan mengurangkan kos sara hidup, mewujudkan peluang pekerjaan, meningkatkan daya saing global dan menyokong iklim pelaburan kondusif.\

Pengerusinya, Datuk Khairussaleh Ramli menyifatkan Belanjawan 2024 bersifat menyeluruh dan inklusif dengan penekanan kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan prorakyat.

Datuk Khairussaleh Ramili
Gambar fail. Datuk Khairussaleh Ramli. - NSTP/OWEE AH CHUN

Persatuan itu juga memuji komitmen kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 4.3 peratus tahun depan, berbanding 4.9 peratus tahun ini dan 5.6 peratus (2022).

Khairussaleh yang juga Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank memberi jaminan industri perbankan komited untuk bekerjasama rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam penubuhan portal fraud nasional pertengahan 2024 seperti diumum.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah, berpendapat Belanjawan 2024 menyokong perbelanjaan pengguna dan isi rumah rentan.

datuk wan razly
Datuk Wan Razly Abdullah.

“Kami percaya belanjawan ini berhemat kerana kerajaan berusaha mencari keseimbangan antara mengukuhkan kembali kestabilan fiskal dan mempromosi pembangunan ekonomi,” katanya.

Tingkat hasil cukai

Ahli Majlis Institut Percukaian Malaysia (CTIM), Harvindar Singh, berpendapat reformasi cukai yang dicadangkan antara langkah kerajaan untuk memastikan kutipan hasil meningkat secara berperingkat, setanding negara maju, iaitu antara 14 ke 15 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 11.8 peratus ketika ini.

Katanya, menerusi cadangan menaikkan Cukai Perkhidmatan daripada enam kepada lapan peratus, kerajaan dijangka memperoleh kutipan tambahan kepada kutipan semasa, iaitu kira-kira RM28 bilion setahun.

Hartal Doktor Kontrak berpandangan meskipun Belanjawan 2024 mempunyai banyak aspek positif, termasuk peningkatan peruntukkan untuk Kementerian Kesihatan, menaikkan cukai gula, mereka kesal masih tiada pelan menyeluruh menangani isu status doktor kontrak.

Harvindar
Harvindar Singh.

“Kekurangan strategi utuh dalam mengekang masalah ini akan memburukkan lagi keadaan brain drain serta membebankan tenaga kerja kesihatan.

“Kami harap kerajaan akan terus bersifat terbuka terhadap pelarasan belanjawan, terutamanya berkaitan sumber manusia, yang menjadi asas kepada keberkesanan sistem penjagaan kesihatan,” katanya.

Penasihat dan bekas Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga (MACFEA), Prof Dr Faridah Hassan, menyifatkan Belanjawan 2024 positif dari segi menangani kos sara hidup, dengan pelbagai inisiatif dan bantuan untuk semua, termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 sebulan, selama setahun kepada 200,000 penerima.

Namun beliau bimbang dalam jangka masa panjang ia akan menjadi beban kepada kerajaan.

FARIDAH HASSAN
Prof Dr Faridah Hassan.

“Pemberian subsidi pada waktu tertentu memang penting tapi selepas setahun, itu menjadi kebimbangan. Apa berlaku selepas 12 bulan? Rakyat akan mengharap untuk terus dibantu. Ia seperti satu perjanjian,” katanya.

Bagaimanapun, Pensyarah Ekonomi di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berpendapat reformasi struktur ekonomi yang sangat diperlukan negara ketika ini tidak dapat dilihat dalam Belanjawan 2024.

prof irwanshah
Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin.

Beliau bimbang masalah ekonomi rakyat, terutama isu kos sara hidup, akan menjadi lebih serius tahun depan kerana belanjawan dilihat gagal memperkasa pendapatan rakyat.

“Anehnya, dasar gaji progresif yang dikatakan akan diperkenalkan pada tahun depan langsung tidak disebut dalam belanjawan.

“Isu pekerjaan dan reformasi perlindungan sosial juga tidak menyeluruh dan membimbangkan, terutama kepada golongan muda, rentan dan golongan ‘miskin baharu’ yang muncul pasca pandemik,” katanya.

Irwan Shah berpendapat, dengan kos sara hidup yang semakin meningkat dan kejatuhan nilai ringgit, apa yang diperlukan rakyat adalah peningkatan kuasa beli.

“Peningkatan Cukai Perkhidmatan dikhuatiri akan memberikan kesan kenaikan harga barang sama seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dulu,” katanya.

Bimbang pengurangan subsidi

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Dr Tricia Yeoh melahirkan kebimbangan terhadap pengurangan subsidi elektrik dan diesel, yang dilihat sangat minimum, tidak mencukupi bagi mewujudkan ruang fiskal untuk dilaburkan bagi tujuan pembangunan jangka masa panjang.

“Belanjawan 2024 memperuntukkan RM58.1 bilion untuk subsidi, namun perbelanjaan subsidi tahun ini mencecah RM77.7 bilion setakat Khamis lalu.

Dr Tricia Yeoh
Dr Tricia Yeoh.

“Berikutan hasil petroleum adalah penyumbang terbesar dalam pertambahan subsidi, kami bimbang dengan ketetapan sasaran yang ditetapkan oleh kerajaan untuk simpanan subsidi,” katanya.

Yeoh juga mencadangkan kerajaan pertimbang memperkenalkan semula GST pada jangka masa panjang, untuk meluaskan asas cukai.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Nur Asyikin Aminuddin berharap isu ketirisan dapat dikurangkan dan melalui penjimatan subsidi, ia dapat digunakan bagi membantu rakyat yang lebih memerlukan, termasuk Skim Tunai Rahmah (STR).

Nur Asyikin Aminuddin

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), Michele Kythe Lim, menyifatkan Belanjawan 2024 memberi tumpuan terhadap penstrukturan ekonomi dan reformasi kawal selia bagi mewujudkan ruang lingkup kewangan yang lebih lestari.

Michele Kythe Lim
Michele Kythe Lim

Selain itu, Belanjawan 2024 turut mengetengahkan pembaharuan yang diperlukan untuk meletakkan negara di landasan tepat, ke arah pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.

This article was first published in Berita Harian on 15 October 2023.


Survey

ICDM
Homepage

ICDM